skip to Main Content
Menu
03-89575770 info@muslimtravelbug.com
Hwa

Gyeongju: Ibu Kota Kerajaan Kuno Korea

Gyeongju terletak di tenggara semenanjung tanah Korea. Dengan keluasan sebesar 1324 km per segi, Gyeongju mempunyai kepadatan penduduk berjumlah 264,091 orang pada tahun 2012 serta merupakan bandar kedua terbesar selepas Andong di daerah Gyeongsang Utara. Gyeongju merupakan ibu kota kerajaan Silla pada masa semenanjung tanah Korea terbahagi kepada 3 negara iaitu Gogurio, Silla dan Baekje. 3 negara ini sering berperang dan mengkhianati antara satu sama lain bagi menguasai kawasan Sungai Han yang kaya dengan sumber mineral dan bagus untuk dijadikan kawasan penanaman padi. Melalui peperangan serta bantuan daripada sebuah negara kuat di China, Silla berjaya menakluk Baekje pada tahun 660 masihi dan Gogurio pada tahun 668 masihi. Melalui penaklukan ini Silla berjaya menjadikan semenanjung tanah Korea yang pada masa itu merangkumi sebahagian daripada negara China sebagai kawasan pemerintahannya.

 Tinggalan kerajaan Silla di bandar Gyeongju masih lagi kukuh terbina dan Gyeongju merupakan sebuah muzium yang besar

Selepas kejatuhan negara ini pada tahun 935 masihi sehingga sekarang, peninggalan peninggalan negara ini masih lagi kukuh terbina dan banyak diantaranya menjadi kawasan bersejarah yang diikitiraf UNESCO. Antaranya ialah:

p1100155

1. Bulguksa (불국사)

Melalui tulisan hanja ataupun chinese character 불 bermaksud Buddha, 국 negara dan 사 kuil. Walaupun Korea merupakan antara negara yang sangat berpengaruh dengan Confusianisme, agama Buddha masih lagi menjadi anutan dan kepercayaan mereka sekitar tahun 600 masihi. Kuil ini juga merupakan antara kuil terbesar di Korea serta menempatkan 2 buah menara pagoda yang salah satunya tertera di belakang duit siling 10 Won Korea. Kuil ini pada ketika itu juga menjadi kawasan singgahsana percutian keluarga diraja Silla. Terdapat sebuah kisah cinta yang sangat popular berkisarkan kuil ini dimana seorang isteri yang menantikan kepulangan suaminya yang dikerah untuk mendirikan kuil ini membunuh diri di sebuah tasik berhadapan dengan kuil ini. Suaminya yang mendapat tahu perihal isterinya berberapa hari selepas itu, pergi ke tasik tersebut dan juga terjun ke dalam tasik ini dan mati lemas. Pada masa ini, walaupun masih dibuka sebagai rumah ibadat kepada penganut agama Buddha, kuil ini juga mengadakan program Temple Stay buat para pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman menginap di kuil ini.

cheomseongdae-02__1432176212_121.131.27.132

2. Cheomsongdae (첨성대)

Maksud Cheomsongdae melalui tulisan cina adalah “Menara Menenung Bintang”. Menara ini merupakan menara pemerhati yang paling tua di asia. Bertarikh pada abad ketujuh masihi, menara ini diiktiraf sebagai Harta Nasional kerajaan Korea yang ke-31 pada 20 Disember 1962. Menara ini dibina menggunakan 362 biji batu bata dimana terdapat pendapat yang menyatakan ianya merujuk kepada 362 hari dalam kalendar lunar. Ia juga mempunyai 27 lapisan bulat batu bata dimana terdapat juga pendapat yang mengatakan ianya bersempena Permaisuri Seondeok yang merupakan pemerintah kerajaan Silla yang ke 27. Terdapat 12 lapisan batu bata di bawah dan di atas tingkap serta 12 biji batu asas di lantai juga 3 biji batu disetiap sisi menara ini. Penggunaan nombor 12 disini mungkin merujuk kepada 12 bulan dalam satu tahun. Melalui peninggalan menara ini, dapat kita simpulkan bahawa kerajaan kuno Silla ini juga mempunyai pengetahuan dalam bidang sains astronomi dan tidak mustahil untuk mereka mempunyai kepakaran dalam bidang bidang yang lain. Terletak di kawasan rata dan lapang, permandangan menara ini sangat cantik pada waktu malam dimana cahaya lampu dipancarkan ke arah menara serta bintang bintang yang bertaburan di langit jelas kelihatan.

10724730086_0ba616b98a_b

3. Anapji (안압지)

Anapji merupakan kolam buatan manusia di Taman Negara Gyeongju. Ia merupakan antara kawasan istana kerajaan Silla dan dibina pada tahun 674 masihi atas titah Raja Munmu. Kolam ini terletak di timur utara istana Banwolseong. Kolam ini mempunyai bentuk oval dan kelebaran 200m dari timur ke barat serta 180m dari utara ke selatan. Di tengah tengah kolam ini juga terdapat tiga buah pulau kecil. Selepas kejatuhan kerajaan Silla, kolam ini tidak diselenggara berkurun lamanya. Pernah dijadikan set penggambaran drama Princess Hour, Anapji kini merupakan antara tarikan pelancong di Gyeongju. Permandangannya yang sangat indah pada waktu malam membuatkan kawasan ini lebih dikunjungi pada waktu malam berbanding waktu siangnya. Melalui seni bina tradisonal Silla yang unik, Anapji perlu dikunjungi sekiranya anda berkesempatan ke Gyeongju.

Bandar Gyeongju boleh disamakan dengan kota Melaka di negara kita. Kerana kebanyakan tempat tempat disini mempunyai sejarah kerajaan Korea kuno, Silla, bandar ini menjadi destinasi pilihan lawatan sambil belajar bagi setiap sekolah di Korea. Bagi mereka yang mengejar seni bina tradisional serta sejarah negara Korea, Gyeongju merupakan pilihan yang terbaik.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top